Info Khutbah 17 Mac 2023 : Persediaan Menyambut Bulan Ramadan

Persediaan Menyambut Bulan Ramadan


Mendengar khutbah Jumaat adalah dituntut sekalipun Para Fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya antara wajib dan sunat.

Namun, kita ianya dikira LAGHA (rujuk di bawah mengenai lagha) jika tidak menumpukan perhatian semasa khatib sedang membacakan khutbah atau tertidur sepanjang khutbah berlangsung. 

Oleh itu jom baca sedikit info mengenai khutbah pada hari ini, sekurangnya kita tahu apa yang akan disampaikan oleh khatib yang bertugas hari ini.

Khutbah ini dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang bertarikh 17 Mac 2023 (rujuk sini) sebagai rujukan penuh.

Berikut adalah tajuk dan isi kandungan khutbah yang telah diubahsuai sedikit bagi memudahkan dan menarik minat jemaah untuk membaca bagi mengetahui apa tajuk dan isi kandungan Khutbah Jumaat pada hari ini.

TAJUK KHUTBAH


PERSEDIAAN MENYAMBUT BULAN RAMADAN

Kita kini berada dalam minggu terakhir bulan Syaaban. Beberapa hari lagi kita bakal menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak. Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dahulu, para sahabat begitu menanti-nantikan kedatangan bulan ini. Apa tidaknya?, Bulan Ramadan itu penuh dengan kelebihan dan keistimewaan yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Maka dengan itu, apakah yang wajar kita lakukan menjelang tibanya Ramadan? Perkara utama yang mesti didahulukan adalah puasa qada iaitu puasa ganti. Ia wajib ditunaikan mengikut jumlah puasa yang ditinggalkan. Sesiapa yang sengaja tanpa uzur tidak menqadhakan puasa yang ditinggalkan sehingga bertemu bulan Ramadan, maka hukumnya adalah berdosa dan wajib menggantikan puasanya itu dan membayar fidyah. Kewajipan melunaskan hutang puasa ini dijelaskan dalam al-Quran. Firman 
Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al-Baqarah ayat 184:

surah mengenai ramadan

Yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa (ganti) sebanyak itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak mampu berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (fidyah) lebih daripada yang ditentukan, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

Sebelum kita memasuki bulan Ramadan, marilah kita mengulang kaji hukum-hakam berkaitan puasa Ramadan. Bersihkanlah hati daripada segala kekotoran seperti hasad dengki, dendam, benci, buruk sangka, marah dan sebagainya.

Satu perkara yang penting juga sebelum kita memasuki bulan Ramadan iaitu memperbanyakkan istighfar dan bertaubat. Inilah masa yang sesuai untuk kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita lakukan sebelum ini. Malah, taubat itu memang sepatutnya kita sentiasa melakukannya, bukannya sekali-sekala apabila kita rasa nak bertaubat. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

hadis imam muslim

Yang bermaksud: “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya dalam sehari seratus kali.”

Kita juga dianjurkan untuk menjaga akhlak dan mengawal tingkah laku kita menjelang Ramadan ini. Elakkanlah membuang masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah, jangan berkunjung ke tempat-tempat maksiat, jagalah mata daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Ibadah puasa kita nanti turut menuntut kita menjaga tutur kata. Jagalah lidah kita daripada perbuatan mengumpat atau bercakap kotor. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi:

hadis imam baihaqi

Yang bermaksud: “Puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan perkataan keji.”

Marilah kita mengubah kebiasaan waktu tidur kita dengan tidur lebih awal setiap malam dan bangun lebih awal iaitu satu pertiga akhir malam. Ini sebagai persediaan membiasakan diri kita untuk bangun sahur. Sebaik-baiknya laksanakanlah solat sunat dahulu atau bacalah al-Quran sementara menanti masuknya waktu Subuh, kemudian hadirlah ke masjid untuk solat Subuh secara berjemaah. Sesuai dengan nama jolokannya ‘Bulan Ibadah’, maka sebelum memasuki bulan Ramadan, lazimkanlah amal ibadah seperti puasa sunat, beriktikaf di masjid, solat tahajud, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

Sebagai mengakhiri khutbah, Marilah kita semua memperbanyakkan doa semoga dipanjangkan usia kita semua oleh Allah Subhanahu wa Taala dan dikurniakan kesihatan untuk kita bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun ini. Semoga kita dapat melaksanakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dan ibadah-ibadah lain. Marilah kita berdoa seperti sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

hadis Imam Ahmad

Yang bermaksud: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan.”

quranul karim

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) “Kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan.”

DOA


Seterusnya membaca doa. Lazimnya bilal membaca doa kita mengaminkannya tapi sebenarnya lebih afdal jika kita berdoa sendiri kerana waktu inilah antara waktu berdoa yang paling mustajab dikabulkan oleh Allah, jadi berdoalah untuk diri kita sendiri di waktu ini.

Hal ini berdasarkan hadis riwayat Muslim (853) yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari radhiallahu anhu, sesungguhnya beliau pernah mendengar Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda ;
Ianya (saat yang mustajab doa) adalah waktu di antara imam duduk (di atas minbar) sehinggalah selesainya solat.

KHUTBAH KEDUA


Sumber Khutbah dari Pejabat Mufti Negeri Pahang : 17/3/2023

..........................................................................................................

PENGERTIAN LAGHA 

(Rujukan mengenai lagha di atas dalam kita mendengar khutbah.

Terdapat dua perkara menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat Jumaatnya seperti berikut:

1. Perkataan

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung menyebabkan pelakunya menjadi lagha.

Ini berdasarkan satu riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: ‘Diamlah’ ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha. (Riwayat al-Bukhari - 934)

Hadis itu menjadi dalil bahawa sebarang ucapan sekalipun berbentuk amar makruf (arahan kepada kebaikan) dilarang ketika khutbah sedang berlangsung serta menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Pengertian lagha di sisi ulama membawa kepada makna berikut:
  1. Tidak mendapat sebarang pahala.
  2. Fadilat Jumaat seseorang itu terbatal.
  3. Solat Jumaatnya menjadi solat Zuhur saja.
Berdasarkan hadis itu juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata ketika khutbah.

Sekalipun ucapan ‘diamlah’ itu suatu amar makruf, ia dianggap sebagai lagha. Maka ucapan selain daripada itu adalah lebih utama untuk dinilai sebagai lagha.

2. Perbuatan anggota badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Satu riwayat daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (ketika khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang) serta pertambahan tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia lagha. (Riwayat Muslim - 857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang. Ia menjadikan pelakunya lagha. Hal itu diluaskan lagi kepada perbuatan lain menyebabkan hilangnya tumpuan dalam mendengar isi khutbah seperti bermain telefon bimbit dan menyibukkan diri dengan tasbih.

Namun, terdapat pengecualian ke atas perbuatan yang dapat membantu menambahkan fokus mendengar khutbah. Terutamanya perbuatan yang dapat menghilangkan rasa mengantuk ketika khutbah dibacakan.

Satu riwayat daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang kamu mengantuk ketika dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat), maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain. (Riwayat Abu Daud - 1119)

Hadis itu menunjukkan, tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang ketika khutbah, tetapi perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat lain itu dibolehkan, bahkan disunatkan dengan tujuan untuk mengelakkan rasa mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah.

Berikut adalah hikmah perbuatan beralih kedudukan ini:
  • Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk.
  • Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.
Dua hikmah itu disebutbutkan oleh al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya, Al-Diin al-Khaalis (4/145-146).

Maka, perbuatan dan pergerakan seperti itu tidak dilarang dan dianggap sebagai lagha. Bahkan, ia suatu yang dituntut lagi disunatkan.

Kesimpulannya, seseorang yang rasa mengantuk ketika khutbah disunatkan beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat lain di dalam masjid.

Bagaimanapun, memandangkan suasana setempat kita pada hari ini saf sudahpun penuh ketika khutbah, maka tidaklah perlu seseorang yang berasa mengantuk beralih tempat lain sehingga menyebabkan mengganggu jemaah lain.

Dibolehkan untuk melakukan perbuatan lain yang dapat menghilangkan mengantuk seperti memicit leher atau badannya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Catat Ulasan for "Info Khutbah 17 Mac 2023 : Persediaan Menyambut Bulan Ramadan"