Peti Pertolongan Cemas KAFA
Kebanyakan daripada kita tidak mengendahkan kepentingan peti pertolongan cemas di rumah, di dalam kereta atau di pejabat apatah lagi di KAFA. Mereka menyangka mungkin tidak memerlukan peti pertolongan cemas kerana sekiranya berlaku kecemasan, pergi saja ke klinik atau hospital.
Kini salah satu peraturan item penting wajib ada di KAFA adalah peti pertolongan cemas. Sebenarnya peti pertolongan cemas sangat berguna terutama bagi kelas KAFA kerana kita tidak tahu berbagai karenah dan perangai pelajar bermain, bergurau kadang kala berlaku juga kemalangan kecil yang tidak kita inginkan.
Ada dua jenis pertolongan kecemasan iaitu
- kecemasan yang memerlukan tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa.
- kecemasan yang memerlukan tindakan segera.
Jika kecederaan itu ringan atau sakit yang boleh dilakukan di KAFA tanpa bantuan perubatan profesional. Contohnya membasuh luka atau calar ringan yang berlaku pada pelajar-pelajar yang lasak bermain.
Apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecederaan pada waktu dan tempat yang tidak diduga di KAFA?
Dalam situasi sebegitu, peti pertolongan cemas sangat berguna. Jangan anggap ia sebagai beban kerana apabila tiba masanya kita perlu menggunakannya.
Perlu diingat, pertolongan cemas adalah bersifat sementara dan bertujuan mengelakkan mangsa mengalami kecederaan yang lebih teruk. Sekiranya keadaan bertambah teruk, dapatkan bantuan daripada pakar perubatan profesional.
Berikut antara beberapa barang yang perlu ada di dalam peti bantuan kecemasan
- Pembersih antiseptik ringan. Ia berguna untuk membasuh calar atau luka ringan yang biasa dialami kanak-kanak ketika bermain. Sekiranya berlaku di dalam kereta dan kita di dalam perjalanan, mungkin sukar mendapatkan air bagi membasuh luka sebegitu. Jadi pembersih antiseptik cecair khas amat berguna.
- Kain kasa pengelap. Kain pelbagai saiz ini mesti ada di dalam peti kecemasan. Elok mempunyai kain berukuran besar kemudian boleh dipotong mengikut keperluan.
- Kapas untuk mengelap luka dan menyapu ubat.
- Putik kapas, juga untuk mengelap luka dan menyapu ubat di kawasan yang lebih kecil.
- Gunting. Ia berguna untuk memotong kain kasa pengelap, pita pelekat dan seumpamanya. Dalam keadaan kecemasan dan memerlukan semua perkara dilakukan cepat, gunting amat berguna. Beli gunting perubatan yang melengkung dan tumpul di hujungnya.
- Pita pelekat. Ia berguna untuk melekatkan pelapik kain kasa pada kulit.
- Kain anduh tiga segi.
- Pek penyejuk segera yang berguna untuk mengurangkan bengkak apabila kita tidak mempunyai ais batu. Beli beberapa bungkus kerana ia hanya boleh digunakan sekali saja.
- Sarung tangan latex. Sarung tangan ini berguna untuk semua pihak sama ada mereka yang sakit atau mereka yang merawat pesakit. Ia boleh juga digunakan sekiranya perlu membersihkan sesuatu contohnya lampin yang kotor.
- Plaster perlu disediakan dalam pelbagai saiz.
- Termometer untuk menyukat kepanasan badan.
- Pad mata bagi mengelak mata dimasuki habuk.
- Minyak atau salap yang sesuai untuk gigitan serangga.
- Ubat-ubatan ringan pil untuk meredakan sakit kepala.
- Pastikan barangan kecemasan disimpan dalam bekas yang sesuai. Ia harus mudah dicapai, lengkap tetapi ringan dan mudah dibawa serta mengandungi barangan asas saja.
Jika gejala atau sakit berlarutan, sila hubungi terus ibu bapa / penjaga untuk tindakan selanjutnya. Pastikan peti pertolongan cemas sentiasa dalam keadaan baik dan tidak luput tarikh.
Catat Ulasan for "Peti Pertolongan Cemas KAFA"
Catat Ulasan